Want to know more, please click

Followers

Pages

Tuesday, March 15, 2011

PERLEMBAGAAN MALAYSIA DALAM KONTEKS HUBUNGAN ETNIK.


PENDAHULUAN
Perlembagaan ialah kumpulan peraturan dan undang-undang yang menentukan organisasi kerajaan dan pembahagian kuasa antara badan pemerintah. Menurut Profesor A. V. Dicey menyatakan perlembagaan menentukan pengagihan kuasa sesebuah negara atau masyarakat politiknya. Di negara kita, perlembagaan menjadi rujukan bagi pemerintahan negara. Perlembagaan bertujuan untuk memastikan wujudnya keamanan antara ahli masyarakat berpandukan peraturan-peraturan yang menjadi panduan kepada semua ahli masyarakat. Malaysia mengambil model Parlimen jenis Westminister daripada Perlembagaan British. Perlembagaan Perseketuan diklasifikasikan kepada perlembagaan bertulis dan perlembagaan tidak bertulis.
Perlembagaan di Malaysia bermula apabila Malayan Union dibubarkan pada
1 April 1946 setelah mendapat tentangan orang melayu, satu perjanjian baru telah ditandatangani. Seterusnya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah digubal dan dikuatkuasakan  pada 1 Februari 1948. Kemudian Suruhanjaya Perlembagaan Baharu Tanah Melayu yang diketuai oleh Lord Reid dibentuk sebagai syarat mendapatkan kemerdekaan. Pada 31 Ogos 1957, Perlembagaan Persekutuan telah berkuatkuasa bersempena dengan pengisytiharan kemerdekaan. Perlembagaan Persekutuan 1957 menjadi asas pembentukan Perlembagaan Persekutuan pada 16 September 1963 dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura. Perlembagaan Persekutuan telah dipinda beberapa kali sehingga tahun 1988.




Kontrak Sosial merupakan satu perjanjian di antara kaum Melayu dengan
kaum bukan Melayu di Malaysia.. Kontrak sosial adalah persetujuan yang dicapai sebelum merdeka di kalangan para pemimpin Melayu, Cina dan India dan parti-parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA dan MIC. Kontrak sosial ini diwujudkan supaya masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Bagaimanapun, kontrak sosial harus dianggap sebagai satu persetujuan di kalangan masyarakat berbilang kaum, bukan hanya pemimpin atau kumpulan elit tertentu. Permuafakatan itu mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Ia telah dipersetujui oleh wakil-wakil kaum semasa pembentukan negara Malaysia dahulu dan kini merupakan sebahagian daripada perlembagaan Malaysia.
Bahagian
Bab
Perkara
Kandungan
2
1
8
·         Kebebasan asasi
2
1
10
·         Kebebasan asasi
4
2
38
·         Majlis Raja-raja
11
1
150
·         Menentang perbualan subversif dan kuasa darurat
12
1
152
·         Bahasa kebangsaan
12
1
153
·         Bahasa kebangsaan

Kandungan Perlembagaan Persekutuan yang Berkait dengan Hubungan Etnik
Sumber: Perlembagaan Persekutuan sehingga 10 Ogos 1995


PERKARA – PERKARA YANG MENYENTUH HUBUNGAN ETNIK DALAM PERLEMBAGAAN

Perkara 8 – Persamaan dan hak sama rata dan pengecualian peruntukan dalam  
         soal agama dan kedudukan istimewa orang melayu.
Menurut perkara 8, Perlembagaan Persekutuan menjamin bahawa setiap rakyat akan mendapat perlindungan undang-undang yang sama kecuali diperuntukan oleh Perlembagaan, tiada perbezaan di antara warganegara dari segi kedudukan politik, sosial, pekerjaan dan taraf ekonomi. Selain itu, rakyat yang tinggal di semua negeri dalam Persekutuan akan mendapat layanan yang sama rata dan kerajaan tidak akan mengutamakan rakyat yang tinggal di sesebuah negeri tertentu sahaja. Walaupun warganegara Malaysia mengamalkan agama, adat dan keturunan (kaum) yang berbeza, kerajaan tidak akan mengamalkan dasar pemerintahan yang berdasarkan warna kulit (Dasar Apartheid), agama, keturunan atau tempat lahir dan kaum. Dengan kata lain semua rakyat mendapat perlindungan undang-undang yang sama tanpa mengira perbezaan kaum. Begitu juga dalam perlembagaan, tiada diskriminasi terhadap perlantikan bagi apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah pihak berkuasa awam atau mana-mana pentadbiran undang-undang dalam memperolehi, memegang, melepaskan harta atau menjalankan apa-apa perniagaan/profesion. Terdapat pengecualian dalam perkara 153 yang membuat peruntukan layanan istimewa bagi orang melayu dan kaum bumiputera yang lain di sabah dan Sarawak dalam beberapa perkara sepeti pemegangan jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam, pemberian biasiswa dan pengeluaran permit serta lesen.

Perkara 10 (4) – Batasan hak kebebasan bersuara daripada menyentuh kedudukan
                raja- raja, kedudukan agama islam dan kedudukan orang melayu.
Di dalam perlembagaan juga, terdapat satu perkara yang disebutkan iaitu hak
asasi. Setiap warganegara yang sah, akan mendapat jaminan dan perlindungan dari
kerajaan. Dalam perlembagaan mengenai hak asasi, terdapat dua jenis iaitu hak ramai dan hak individu. Contohnya dalam Perkara 10, disebut, memberi hak kebebasan bercakap merupakan hak individu manakala dalam Perkara 10(2), disebut, Parlimen diberi kuasa untuk mengawal hak tersebut kerana ia merupakan hak orang ramai. Rasionalnya ialah hak kebebasan bercakap itu mungkin akan menjejaskan keselamatan orang ramai. Suruhanjaya Kebangsaan Hak Asasi Manusia telah ditubuhkan di Malaysia. Badan ini bertujuan untuk mempromosikan dan memberikan perlindungan hak asasi manusia di negara ini.
Sebuah akta yang membolehkan penahanan seseorang tanpa bicara telah diperkenalkan selepas peristiwa 13 Mei 1969 yang dikenali sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri. Penahanan seseorang tanpa bicara boleh dilaksanakan jika ia merupakan langkah yang terbaik demi untuk kesejahteraan dan keselamatan Malaysia. Kesalahan seperti menggugat keselamatan dan ketenteraman Negara dengan mempersoalkan kontrak sosial boleh ditahan di bawah akta ini. Namun begitu, penahanan tersebut tidak boleh dilakukan secara sesuka hati. Beberapa syarat perlu dipenuhi sebelum penahanan itu disahkan. Di antara syarat-syarat tersebut ialah:
i) Seseorang yang ditahan hendaklah diberitahu sebab-sebab dia ditahan dan berhak mengemukakan hujah-hujah menentang penahanannya itu dengan mengemukakan kenyataan melainkan kenyataan itu dianggap membahayakan kepentingan negara.
ii) Seseorang warganegara tidak boleh ditahan lebih dari 3 bulan melainkan
penahanannya telah disyorkan oleh Yang Di-Pertuan Agong oleh satu badan penasihat. Badan penasihat itu akan mendengar hujah-hujah yang dikemukakan oleh warganegara yang ditahan itu sebelum mensyorkannya.
iii) Badan tersebut haruslah terdiri daripada seorang pengerusi dan 2 orang ahli biasa. Pengerusi itu haruslah layak iaitu merupakan hakim dan perlantikan ahli badan itu dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong.Perbicaraan bagi pesalah ini berlainan kerana perbicaraan adalah jenis tertutup.

Dalam perkara 10 juga, menyatakan mengenai batasan hak kebebasan bersuara daripada menyentuh kedudukan raja, Islam, orang melayu dan sebagainya. Agama Islam menjadi agama rasmi negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan hasil daripada persetujuan dan semangat muafakat yang ada pada pimpinan semua bangsa. Agama Islam diiktiraf dalam perlembagaan Malaysia dan diberikan kedudukan yang signifikan. Apa yang penting ialah cara bagaimana ia diberikan penafsiran agar Islam itu dilihat sebagai komprehensif, dinamik dan bersepadu. Perlembagaan Malaysia juga memperuntukkan DYMM Seri Paduka Baginda Yang dipertuan Agung (YDPA) sebagai Ketua Agama Islam Negara Malaysia. Hal ini sudah tentu menjamin kedaulatan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Selain itu para sultan di negeri-negeri pula merupakan ketua agama di negeri masing-masing. Perlembagaan juga memperuntukkan bahawa badan-badan perundangan negeri boleh menggubal sebarang undang-udang di bawah semangat perlembagaan.

Dalam Perlembagaan Malaysia, kebebasan beragama diberikan sepenuhnya kepada setiap warganegara. Setiap warganegara bebas untuk menganut dan mengamalkan agamanya dan menyebarkannya. Walau bagaimanapun, pendakyahan sebarang kepercayaan dan doktrin agama kepada individu Islam adalah tidak dibenarkan. Tiada seorang pun boleh disuruh untuk membayar apa jua bentuk cukai untuk tujuan agamanya kecuali untuk agamanya sendiri. Setiap kelompok agama mempunyai hak untuk mengurus hal ehwal agamanya dan mewujudkan institusi untuk tujuan keagamaan, kebajikan, memperoleh dan memiliki serta menguruskannya mengikut undang-undang. Dalam hal ini, diskriminasi tidak dibenarkan terhadap mana-mana warganegara atas dasar agama, bangsa, keturunan dan tempat kelahiran. Setiap kelompok agama mempunyai hak untuk menubuhkan institusi untuk tujuan pendidikan di dalam agamanya sendiri. Pengingkaran terhadap perlembagaan dianggap sebagai satu pencabulan terhadap kedaulatan undang-undang negara Malaysia.
Walaupun Perlembagaan Malaysia dalam perkara 10 menyatakan bahawa setiap orang mempunyai hak kebebasan untuk bercakap, Islam tidak boleh digantung atau dimansuhkan sama ada melalui pindaan biasa ataupun melalui darurat Islam juga tidak boleh dibincangkan secara sewenang-wenangnya. Hal ini dapat ditunjukkan dalam perkara 9 dan 10 yang menyatakan bahawa apa-apa jenis sekatan boleh dikenakan kepada hak untuk mewujudkan perkumpulan atau hak bersuara sekiranya ia penting dari segi kententeraman dan keselamatan negeri.

Kebebasan beragama yang diamalkan oleh orang Islam di Malaysia merupakan kewajipan dan ajaran yang telah ditentukan oleh agama Islam itu sendiri. Islam mengiktiraf kebebasan beragama dan tiada paksaan dalam anutan apa-apa agama.
Setiap individu mempunyai hak mempercayai dan mengamalkan sistem kepercayaaan masing-masing.
Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata
kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak
percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya
ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak
akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[Surah Al-Baqarah: 256]

 
Perkara ini diterangkan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya yang bermaksud:









Islam menyuruh umatnya memberikan keadilan kepada semua manusia tanpa ada sebarang bentuk penindasan mahupun diskriminasi. Ini menunjukkan dalam Islam tiada unsur paksaan. Keharmonian dan kehidupan hidup bermasyarakat dan bernegara tidak akan tercapai sekiranya tidak wujud kebebasan beragama, toleransi, saling memahami dan perpaduan. Islam mengakui bentuk-bentuk kepelbagaian budaya dan agama serta kepercayaan dengan memberikan garis panduan tentang pengiktirafan Allah s.w.t. terhadap budaya, agama dan sistem kepercayaan yang diredhai-Nya.
 Bahkan hak-hak orang bukan Islam tetap dipertahankan dalam konteks sejarah pemerintahan dan pentadbiran Rasulallah.s.a.w., para sahabat dan pemerintah yang adil.
 Ketiadaan kebebasan beragama dalam sesebuah negara akan menimbulkan pelbagai implikasi negatif. Sejarah telah membuktikan bahawa penjanaan pembangunan dan kemajuan negara kita sejak merdeka hinggalah sekarang adalah hasil daripada semangat bekerjasama, hormat menghormati, tolong menolong dan toleransi yang menjadi resepi unik negara berbilang kaum seperti Malaysia.


Perkara 38 – Kuasa Majlis Raja-Raja menghalang Parlimen membuat undang-undang yang menyentuh kedudukan Raja-Raja Melayu ,orang melayu, bahasa
                     melayu dan agama islam.

Dalam Perkara 38 kuasa Majlis Raja – Raja menghalang parlimen membuat undang – udang yang ,menyentuh kedudukan raja – raja melayu, orang melayu, bahasa melayu dan agama Islam.  Agama Islam merupakan agama persekutuan.
Walaubagaimanapun, ini bukanlah bermaksud negara ini mengamalkan sistem teokrasi. Rakyat Malaysia yang lain masih bebas menganut agama yang lain dan juga merayakan perayaan masing-masing. Mereka juga bebas untuk mengamalkan adat dan tradisi agama masing-masing. Banyak peruntukkan telah dibelanjakan untuk membangunkan agama Islam selepas merdeka.

Prinsip kerakyatan secara ‘jus soli’ telah diperkenalkan semasa rancangan
Malayan Union diperkenalkan di Tanah Melayu iaitu kaum Cina dan India yang
dilahirkan di Tanah Melayu merupakan warganegaranya.
 Tetapi dengan adanya Perlembagaan, kerakyatan Jus Soli telah diperketatkan. Antara syarat itu ialah penduduk bukan Melayu mesti tinggal di PTM (Persekutuan Tanah Melayu) tidak kurang daripada 10 tahun. Kedua-dua ibubapanya adalah warganegara PTM.
Mereka hendaklah mengaku taat setia terhadap Tanah Melayu dan menganggap
negara ini sebagai tanah tempat tumpah darahnya. Selain itu, bermula tahun 1958, mereka juga perlu fasih bertutur dalam bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris.
Selain itu, kedudukan raja sebagai ketua negeri dan ketua agama Islam diiktiraf.
Prinsip ‘Kesetiaan kepada Raja’ telah dimasukkan ke dalam Rukunegara yang
merupakan idealogi nasional telah mengkukuhkan lagi kedudukan raja-raja di
Malaysia. Di samping itu, satu pindaan telah ditubuhkan iaitu Akta Hasutan 1948.
Ia bertujuan untuk melarang soalan mengenai hak, taraf kedudukan, hak istimewa,
kedaulatan raja yang dilindungi oleh perlembagaan ke atas bahasa kebangsaan,
kewarganegaraan, hak istimewa orang Melayu dan kuasa pemerintahan raja-raja.
"Adalah pandangan yang telah dipertimbangkan oleh Duli-duli yang Maha Mulia bahawa tidak dikehendaki memasukkan perisytiharaan seperti yang dicadangkan bahawa ajaran agama Muslim atau ajaran agama Islam adalah agama yang ditetapkan bagi Persekutuan. Duli-duli yang Maha Mulia tidak menyokong perisytiharaan seperti itu dimasukkan dan ini adalah perkara arahan khusus dimana saya tidak banyak terlibat".
Hakim Abdul Hamid berpendapat bahawa perisytiharan seperti itu perlu dimasukkan seperti yang dicadangkan oleh Perikatan. Dalam cadangan beliau Hakim Abdul Hamid dari Pakistan itu mengesyorkan oleh kerana cadangan yang dibuat oleh Perikatan itu adalah dibuat sebulat suara, ia harus diterima. Peruntukan seperti itu telah pun terdapat di negeri-negeri dan apa yang perlu ialah memindahkannya dari Perlembagaan negeri ke Perlembagaan Persekutuan.
Kedudukan hak istimewa orang Melayu bukanlah merupakan sesuatu yang baru. Perkara ini ialah merupakan perkara utama yang diperjuangkan oleh golonganorang Melayu sejak sebelum merdeka lagi. Perkara ini telah dimaktubkan di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Ia bertujuan untuk menjaga hak orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu dan mempertingkatkan kemajuan orang Melayu yang telah ketinggalan dalam semua bidang kehidupan supaya setaraf dengan kaum bukan Melayu yang lebih maju. Ini dapat mendekatkan jurang perbezaan di antara kaum terutamanya kaum Cina dengan kaum Melayu yang terpisah sejak kedatangan British di Tanah Melayu.
Selain itu, tugas Majlis Raja-raja ialah mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa amalan agama dalam seluruh Persekutuan. Berhubung perkara 3 Perlembagaan menetapkan agama Islam sebagai agama rasmi terutamanya bagi maksud-maksud upacara. Pengisytiharan itu dimasukkan bagi membolehkan Majlis Raja-raja mengeluarkan perintah tentang upacara dan amalan agama Islam yang terpakai bagi Persekutuan secara menyeluruh. Hal ini juga membolehkan Yang di-Pertuan Agong mewakili Raja-raja dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam. Walaupun agama Islam merupakan agama rasmi, namun setiap warganegara diberi kebebasan untuk mengamalkan agama masing-masing dengan aman damai.

Bahagian 11, Bab 1, Perkara 149-151,
Kandungan: Kuasa-kuasa khas menentang perbuatan subversive dan kuasa-kuasa  
                      darurat.
Perkara 150 –   Kedudukan agama islam, Adat istiadat melayu dan bumiputra      
                          Sabah dan Sarawak, kewarganegaraan meskipun dalam keadaan
 darurat.

Kontrak sosial di Malaysia merujuk kepada perjanjian oleh bapa-bapa kemerdekaan negara dalam Perlembagaan dan merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera. Istilah ini juga kekadang digunakan untuk merujuk kepada bahagian-bahagian yang lain dalam Perlembagaan, seperti Perkara yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.
            Dalam konteks biasa yang berkaitan dengan hubungan ras, kontrak sosial telah kerap kali dibicarakan, termasuk juga oleh ahli-ahli politik dalam kerajaan campuran yang menegaskan bahawa hutang orang-orang bukan Melayu kepada orang-orang Melayu terhadap kewarganegaraan yang diberikan telah merenggangkan golongan-golongan bukan Melayu daripada negara mereka. Justeru, dalam menangani masalah ini, kerajaan merujuk kepada perlembagaan telah mempergunakan kontrak sosial ini untuk mempertahankan prinsip Ketuanan Melayu
Perkara 150 membenarkan Parlimen atau Yang di-Pertuan Agong meluluskan apa juga undang-undang untuk keperluan ketika darurat setelah ia diisytiharkan. Undang-undang untuk tujuan ini dibenarkan walaupun ia tidak konsisten dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan. Walaupun begitu terdapat satu perlindungan yang penting dalam fasal (6A) iaitu kuasa ini tidak boleh diperluas dengan apa-apa perkara mengenai hukum Syarak atau adat istiadat Melayu.
Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa agama Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana negeri dan bahagian Persekutuan. Di sini juga, perlu disebutkan bahawa masih belum ada terjemahan Perlembagaan yang betul dan sahih di Malaysia dan dengan lain perkataan "Islam is the religion of the Federation" yang terdapat dalam Perlembagaan. Ia juga di terjemahkan sebagai "Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan".
Oleh kerana perkataan "Islam" dan bukan "agama Islam" yang digunakan di Perkara 3 bolehlah dihujjahkan disini bahawa apa yang dimaksudkannya ialah Islam sebagai cara hidup mengikut Islam iaitu Islam sebagai Ad-Din. Apabila disebut "agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan", orang-orang bukan Islam mendakwa bahawa mereka diberi kebebasan mengamalkan kepercayaan dan upacara-upacara agama mereka, akan tetapi cara hidup mereka hendaklah tidak menyekutukan dan bercanggah mengenai agama lain.
Mereka tidak mahu undang-undang Islam dikenakan kepada mereka dan lebih suka mengikut undang-undang lnggeris. Jika ini makna yang dikehendaki di beri kepada perkataan "agama" oleh orang-orang yang bukan Islam, lebih-lebih lagilah orang-orang Islam berhak memberi makna yang luas kepada "Islam" sebagai agama Persekutuan.
Perkara 11 Perlembagaan memperuntukan "Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada fasal (4) mengembangkan agamanya." Dari peruntukan ini jelaslah orang-orang Islam berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya, iaitu Islam sebagai cara hidup mereka. Fasal (4) menyebutkan undang-undang boleh dibuat untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa adapt istiadat atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam.Telah ada beberapa negeri yang telah mengadakan undang-undang untuk menyekat pengembangan agama-agama lain antara orang-orang Islam akan tetapi sayangnya ada beberapa negeri yang belum lagi mengadakan undang- undang itu termasuk Wilayah-wilayah Persekutuan. Islam juga turut dilindungi ketika darurat melalui perkara 150(6A) yang menyekat kuasa Parlimen daripada mengganggu apa-apa perkara mengenai hukum syarak atau mengubah kedudukan apa- apa perkara berhubung dengan agama seperti yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan.         Perlindungan yang boleh dikatakan cukup ketara yang diberikan oleh Perlembagaan kepada Islam boleh dilihat pada perkara 11(4). Sungguhpun perkara 11(1) memberikan kebebasan kepada tiap-tiap orang untuk menganut dan mengamal agamanya, ia bagaimanapun meletakkan sekatan dalam urusan pengembangan agama.
Perlembagaan memberikan kuasa kepada kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama selain daripada Islam di kalangan orang Islam.
Setakat ini, sembilan negeri – Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu – sudah menjalankan kuasa itu melalui enakmen negeri masing-masing. Kelantan negeri yang paling awal pada tahun 1981, dan paling akhir ialah Johor pada tahun 1991.
             Di Selangor misalnya, undang-undang yang dikenali sebagai Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Bukan Islam) Selangor 1988 itu menjadikan satu kesalahan sekiranya seseorang memujuk, mempengaruhi atau menghasut seorang Islam untuk cenderung kepada agama bukan Islam, menjadi pengikut atau ahli agama bukan Islam atau meninggalkan atau membelakangi agama Islam. Agama bukan Islam dalam enakmen itu ditakrifkan sebagai Kristian, Hindu, Buddha, Sikh, Judaisme dan apa-apa bentuk kepercayaan yang berasal daripada agama-agama tersebut. Tafsirannya juga mencakupi kepercayaan pagan dan animisme, serta apa-apa kepercayaan dan amalan yang tidak diperakui oleh Islam.             Di sini jelaslah bahawa keutamaan dan perlindungan yang diberikan kepada Islam itu secara tidak langsung meletakkan negara ini sebagai sebuah negara Islam. Tetapi ia bukanlah sebuah negara yang boleh dianggap Islam sepenuhnya, dan pada masa yang sama, tidak pula boleh dianggap sebagai negara sekular.
Inilah sebuah negara yang mengamalkan dua sistem, dengan Islam diberikan kedudukan yang sedikit istimewa. Sungguhpun Islam diberikan keutamaan, agama-agama lain tidaklah pula sampai diketepikan. Perlembagaan masih melindungi kebebasan kepada masyarakat bukan Islam untuk mengamalkan agama masing-masing dengan aman dan damai, tidak membeza-bezakan semata-mata kerana faktor agama dan tidak memaksa sesiapa untuk menerima ajaran atau mengambil bahagian dalam upacara agama yang lain daripada agamanya. Inilah kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh generasi yang menyambut kelahiran negara ini hampir 50 tahun lalu, yang harus difahami dan dihormati oleh generasi pewaris yang akan mengemudikan perjalanan masa depan Malaysia.
            Pada masa yang sama juga, untuk menegakkan kontrak sosial, sebagai balasan untuk enakmen peruntukan-peruntukan yang pada asalnya bersifat sementara, orang-orang Malaysia bukan Melayu diberikan kewarganegaraan di bawah Bab I Bahagian III dalam Perlembagaan. Kecuali hak-haki istimewa Bumiputera, orang-orang bukan Bumiputera dianggap sebagai sama sahaja dengan orang-orang Bumiputera dan diberikan semua hak kewarganegaraan di bawah Bahagian II dalam Perlembagaan. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, sebilangan orang telah mencuba untuk membekalkan warganegara-warganegara Melayu dengan lebih banyak hak politik menurut falsafah Ketuanan Melayu. Kebanyakan penyokong Ketuanan Melayu memperdebatkan bahawa hak-hak tambahan ini telah ditulis dalam undang-undang dan hanya perlu dipertahankan seperti yang telah diperuntukkan dalam perlembagaan.

Perkara 152 – Kedudukan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan tanpa 
                        menafikan  bahasa-bahasa lain.

           
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan. Namun, bahasa lain dibenarkan dalam situasi tidak rasmi atau dalam pembelajaran. Mengikut Akta ( Pindaan ) Perlembagaan 1971, kedudukan bahasa Melayu tidak boleh dipersoalkan dan dilindungi oleh Akta Hasutan. Namun demikian, bahasa Inggeris dibenarkan oleh Yang di – Peruan Agong semasa berhubung dengan negara – negara lain atau badan antarabangsa, latihan –latihan yang dikendalikan oleh pakar dari luar negara, dalam perundangan ( naskhah undang – undang sahih dalam bahasa Inggeris ) dan laporan penaksiran dan perakaunan oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri.
Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menjadikan Bahasa Melayu sebagai
Bahasa Kebangsaan. Ini bertujuan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar dengan diwajibkan di semua jenis pusat pendidikan. Ini
merupakan salah satu langkah untuk mencapai perpaduan negara. Pada masa yang
sama, Dewan Bahasa dan Pustaka telah ditubuhkan untuk memajukan Bahasa
Melayu serta menggalakkan penggunaannya. Minggu Bahasa Melayu dan Bulan
Bahasa Melayu dilancarkan dalam tahun 1960, melalui cogankata “Bahasa Jiwa
Bangsa”.Walaupun dengan kedudukan istimewa bahasa Melayu tersebut, bahasa  lain yang terdapat di Malaysia tetap diperakui kewujudannya. Bangsa lain masih boleh mengamalkan bahasa mereka tetapi tidak dalam urusan rasmi.
Sekolah – sekolah jenis kebangsaan hendaklah menerima sistem pendidikan di Malaysia yang mewajibkan setiap pelajar mempelajari bahasa Melayu. Dalam pada itu, pelajar yang tidak lulus subjek bahasa Melayu pada peringkat SPM tidak layak memohon tempat di institusi pengajian tinggi.
Kerajaan telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan setiap kaum haruslah memperakui tanpa mempersoalkannya. Perkara 152 Perlembagaan Malaysia menyebut bahawa bahasa Melayu harus digunakan untuk urusan rasmi kerajaan, rakyat perlulah mendaulatkan dan menggalakkan bahasa Melayu, rakyat tidak mengira kaum tidak boleh menghina dan merendahkan bahasa Melayu, kerajaan juga tidak boleh menghalang penggunaan bahasa kaum lain selagi mengakui bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Selain itu, tiada sesiapa pun yang boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan, mengajar atau belajar bahasa asing dan Perkara 162 (seksyen 4) juga menyebut bahawa Yang di Pertuan Agong boleh membenarkan penggunaan bahasa Inggeris, termasuk di Parlimen atau DUN, jika perlu dan dengan izin speaker.
            Bahasa Melayu yang dituturkan pada hari ini, selain melalui ucapan, ialah bahasa tulisan dan dijadikan wahana komunikasi surat – menyurat. Sementara keadaan bahasa Melayu lisan boleh dikatakan dalam keadaan kurang memuaskan berbanding bahasa Melayu tulisan. Berdasarkan isu tersebut, kumpulan kami telah mengenalpasti sebab – sebab timbulnya masalah tersebut iaitu kerana kurangnya latihan pertuturan yang baik melibatkan pelajar sekolah sama ada Melayu sendiri, Cina, India ataupun kaum lain; mahasiswa serta petugas awam, kurang asuhan melibatkan bahasa indah dan cara berfikir objektif dalam perbahasan dan pertuturan, kurang latihan atau matapelajaran berkaitan karya – karya sastera bangsa sendiri, pembelajaran dalam bidang sastera yang tidak dikemaskini dan kurangnya tenaga pengajar yang komited dengan pembudayaan bahasa atau pembahasan sebagai bidang kajian atau mata pelajaran. Dalam maksud lain, sesetengah masyarakat menggunakan bahasa Melayu secara ala kadar dan kerana itulah kita tidak peduli mengenai kesalahan penggunaanya. Jika dilihat hari ini, orang bukan Melayu lebih senang menggunakan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu apabila berkomunikasi dengan orang Melayu. Mungkin bagi mereka lebih selesa menggunakan bahasa asing daripada membudayakan bahasa kebangsaan sendiri.
            Menyelusuri dunia tanpa sempadan kini, bahasa Melayu tidak terkecuali menerima tempiasnya dalam konteks bina bangsa. Antara isu tersebut ialah masalah penjiwaan bahasa Melayu, berleluasanya penggunaan bahasa rojak, masalah penggunaan serta keutamaan bahasa Melayu, unsur – unsur serta amalan yang boleh merosakkan bahasa Melayu, utiliti bahasa Melayu itu sendiri dan tuntutan perubahan dalam sistem pendidikan negara. Jika dibiarkan isu ini tanpa pemerhatian yang rapi, akan mendatangkan musibah yang besar kepada bahasa Melayu. Seperti petikan pendapat di bawah yang menyatakan,

“ .....kerajaan tidak perlu memperkenalkan semula aliran Inggeris semata – mata untuk meningkatkan pengusaan bahsa tersebut di kalangan pelajar. Sistem sedia ada terbukti mampu mencorakkan penguasaan bahasa malah dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia sekaligus dapat merapatkan hubungan kaum...”
Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM),
Profesor Madya Aminah Ayob



“…pelajar Melayu perlu mencontohi pelajar Cina yang boleh menguasai bahasa Cina dengan baik di sebalik mereka memberi perhatian kepada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Kita menyokong saranan ini bukan bermakna kita berpatah balik tetapi mahu melihat pelajar-pelajar kita mampu menguasai bahasa Inggeris untuk membolehkan mereka menimba seberapa banyak ilmu…”
Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM), Sanif Suradi
Oleh hal yang demikian, kita sebagai rakyat yang setia perlulah menjaga maruah bangsa kita bak kata Hang Tuah “ tidak akan Melayu hilang di dunia ”. Pembudayaan bahasa jiwa bangsa haruslah diterapkan dalam diri setiap golongan  masyarakat tidak mengira kaum supaya bahasa Melayu tidak mudah diancam oleh faktor – faktor lain yang sekaligus dapat melemahkan identiti Malaysia sendiri. Walaupun pelbagai isu berbangkit termasuklah berkaitan dengan hubungan antara kaum,
           
Perkara 153 – Kedudukan istimewa orang melayu tanpa menafikan kaum lain.
Isi-isi Perlembagaan Merdeka telah memberikan rangka kerja untuk Perlembagaan Persekutuan 1963. Perlembagaan Persekutuan ini telah meliputi fasal-fasal tentang hak istimewa orang Melayu, bahasa kebangsaan, dan agama tanpa merampas “hak dan keistimewaan mana-mana individu, permit atau lesen yang diperoleh atau dinikmati atau dipegang olehnya” (Fasal 153). Ia juga telah meliputi “beberapa isu-isu lain yang berkaitan dengan hal-ehwal hubungan orang Melayu dan Cina”.
Perlembagaan Persekutuan yang dibentuk pada 1957 dan 1963 melalui perbincangan bapa-bapa kemerdekaan, adalah berdasarkan kontrak sosial yang telah mengasaskan negara ini. Perlembagaan ini “memberikan gambaran terhadap kontrak sosial antara rakan kongsi yang setaraf bagi menjamin kesaksamaan terhadap semua rakyat, tidak mengira kaum atau agama dalam demokrasi yang pluralis,” kata Dr Ng Kam Weng, Pengarah Kairos Research Centre, dalam artikel di The Star pada 15 November, 2003.
Dalam semangat kontrak sosial yang telah diasaskan oleh nenek moyang kita, tiada kumpulan etnik yang perlu merasakan ianya lebih rendah tarafnya daripada etnik yang lain. Ini telah dijamin oleh Perdana Menteri yang telah berjanji pada hari keputeraan Yang Dipertuan Agong tahun lalu bahawa kerajaan akan berpegang teguh terhadap kontrak sosial dengan melindungi semua kumpulan etnik daripada segala bentuk penindasan ataupun diskriminasi (The Star, Jun 6, 2004).
Perkara 153 Perlembagaan Malaysia memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Malaysia. Perkara ini secara terperinci memberitahu bagaimana kerajaan Persekutuan mempertahankan kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia dianggap sebahagian daripada kontrak sosial.

Perkara 153 telah mengamanahkan baginda bertanggungjawab untuk memelihara kedudukan istemewa orang-orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum lain. Perkara 153 Perlembagaan Malaysia telah memaktubkan Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang berkaitan :
                                i.            Perkhidmatan Awam : Perkara 153 (2,3 dan 4)
                              ii.            Ekonomi : Perkara 153 (6)
                            iii.            Pelajaran: Perkara 153 (2,3 dan 4)
                            iv.            Kedudukan Istimewa Orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 – berhubung dengan tanah rizab Melayu.
                              v.            Hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971).
Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum Bumiputera. Istilah ini juga digunakan untuk merujuk kepada bahagian-bahagian yang lain dalam Perlembagaan Malaysia, seperti perkara yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.
“Kita jangan sekali-kali menidakkan apa yang dipersetujui dan dijanjikan oleh nenek moyang pada masa dahulu. Kontrak sosial ini iaitu yang termaktub dalam Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan sebenarnya bukan sesuatu yang dianggap sebagai diskriminasi kaum. Ia adalah kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semasa negara mencapai kemerdekaan 48 tahun lalu akan kekal sampai bila-bila walaupun perubahan terus berlaku,” kata Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.(Selasa 16 Ogos (Bernama).

 Dalam menerima kerakyatan bukan Melayu dan segala hak yang berkaitan, orang-orang Melayu terdedah kepada persaingan dalam semua aspek iaitu politik, ekonomi, sosial dan lain-lain. Tiada jaminan bahawa mereka dapat bertahan dalam persaingan tersebut, satu hakikat yang diakui oleh penjajah Inggeris. Maka dengan itu wujud perlindungan dan kedudukan istimewa yang diberi kepada orang Melayu.
Semasa perundingan di antara pemimpin-pemimpin kaum pada 1950’an, persetujuan dicapai bagi melanjutkan hak-hak istimewa Melayu seperti yang terkandung dalam Memorandum Perikatan. Pemimpin-pemimpin bukan Melayu bersedia menerimanya kerana kedudukan orang Melayu dalam ekonomi dan pendidikan. Mereka jauh ketinggalan dan memerlukan bantuan-bantuan khusus melalui peruntukan-peruntukan tertentu.
Suruhanjaya Reid telah mengambil kira Memorandum Perikatan sebagai yang wajar tetapi setelah menimbangkan hak-hak semua rakyat di bawah demokrasi, mengesyorkan hak-hak istimewa Melayu dalam masa lima belas tahun saja. Jelas syor ini tidak adil kepada orang-orang Melayu yang telah berkorban dalam berkongsi kerakyatan dengan penduduk bukan Melayu. Ianya juga tidak realistik kerana untuk satu-satu bangsa menjadi cukup berdaya saing,  tiada batasan waktu boleh ditetapkan.          Orang Melayu rata-rata termasuk wakil-wakil UMNO menentang keras syor suruhanjaya ini. MCA sendiri bersetuju dengan cadangan asal Perikatan berhubung dengan hak istimewa Melayu digunakan iaitu tiada batasan waktu untuknya, sebaliknya ia boleh dikaji semula dari masa ke masa. Dengan itu lahirlah Fasal 153 dalam Perlembagaan yang memperincikan peruntukan yang berkaitan orang-orang Melayu diberi keutamaan dalam 4 lapangan iaitu  tanah simpanan, kuota untuk penerimaan ke dalam perkhidmatan awam, kuota dalam pengeluaran permit atau lessen untuk menjalankan perniagaan-perniagaan tertentu, dan keutamaan yang berhubung dengan dana pelajaran dan bentuk-bentuk bantuan bagi maksud pendidikan. Antara hak-hak keistimewaan orang melayu ialah :-
·         Tanah.
Tanah Simpanan Melayu adalah penerusan dasar sebelum merdeka lagi bagi memastikan pemilikan orang-orang Melayu tidak terusik. Tetapi luas tanah di satu-satu negeri itu hendaklah tidak melebihi tanah yang terbuka untuk semua kaum. Tanah dikekalkan dalam bidang kuasa negeri dan statusnya boleh diubah mengikut persetujuan Exco Negeri tetapi tidak harus melanggar peruntukan Akta Simpanan Tanah Melayu. Tetapi hakikatnya banyak dari tanah Melayu terjual bagi tujuan pembangunan tanpa diganti balik.
·         Perkhidmatan Awam.
Dalam perkhidmatan awam, wujud kuota dalam pengambilan pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan. Buat sekian lama, masa penjajahan dan selepasnya jumlah kakitangan Melayu di Bahagian Pertama dalam pentadbiran awam kurang berbanding dengan bukan Melayu. Ia dapat diperbetulkan apabila terdapat lebih ramai anak-anak Melayu lulus peringkat Ijazah.
 Oleh kerana, kebanyakkan orang Melayu dalam pentadbiran, ia dipersoalkan oleh orang-orang bukan Melayu yang mahu keadaan ini diubah bagi pengambilan yang sama rata tanpa memperdulikan tradisi orang-orang Melayu dalam pemerintahan.



·         Permit dan Lesen.
Dengan adanya permit dan lessen  kuota boleh diberikan untuk orang-orang Melayu dalam permohonan permit dan lesen-lesen perniagaan. Ini membolehkan penglibatan mereka yang lebih luas memandangkan mereka agak terkebelakang dalam perniagaan dan bidang ekonomi umumnya. Tanpa kuota ini tiada jaminan yang mereka akan beroleh satu bahagian yang adil dan faedah-faedah ekonomi. Tetapi ini tidak bermakna ia sengaja melakukan diskriminasi terhadap kaum-kaum lain. Sebarang permit atau perniagaan milikan mereka tidak boleh ditarik balik semata-mata untuk dibahagikan kepada orang Melayu. Dengan itu tiada halangan bagi kaum-kaum bukan Melayu untuk menjalankan perniagaan mereka dengan sebebas-bebasnya.
·         Biasiswa dan dana pelajar.
 Pemberian biasiswa dan dana pelajar kepada orang Melayu adalah bagi membolehkan mereka mengajar kaum-kaum lain dalam bidang pendidikan. Tanpa biasiswa dan dana ini, orang-orang Melayu yang rata-ratanya berpendapatan rendah akan terus tercicir dan ditinggalkan oleh kaum-kaum lain di peringkat pendidikan. Kesannya akan dirasai pada ekonomi orang Melayu. Di waktu penjajahan, didapati lebih banyak biasiswa dan dana dikeluarkan untuk pelajar-pelajar bukan Melayu. Selepas merdeka, keadaan menjadi lebih seimbang, tetapi kini biasiswa bukan menjadi hak pelajar-pelajar Melayu lagi sepenuhnya kerana telah dibuka kepada pelajar-pelajar bukan Melayu.
            Bagi merapatkan jurang modal insan ini, aspek pendidikan merupakan satu aspek yang amat penting sekali bagi meramaikan bijak pandai Melayu. Dengan mengambil kira faktor inilah atas desakan UMNO maka semasa pengubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu oleh Suruhanjaya Reid dan kemudiannya menjadi Perlembagaan Persekutuan Melayu Raya atau Malaysia selepas Malaysia ditubuhkan telah dimasukkan Perkara 153 ke dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memperuntukan bahawa setiap orang Melayu dan bumiputra mana-mana negeri-negeri Sabah dan Sarawak yang berkelayakan adalah diberi hak biasiswa secara automatik.
Ini jelas dari Perkara 153 (3) yang antara lain memperuntukkan :

perezapan bagi orang Melayu dan bumiputra mana-mana Negeri-negeri Sabah dan Sarawak .......... mengenai biasiswa, bantuan dan lain-lain keistimewaan pelajaran atau latihan atau kemudahan-kemudahan khas, Yang diPertuan Agong boleh memberi apa-apa arahan am sebagainya yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang dimaksudkan oleh Bahagian 10 atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang bertanggungjawab atas pemberian biasiswa, bantuan atau lain-lain keistimewaan pelajaran atau latihan atau kemudahan-kemudahan khas itu ; dan Suruhanjaya atau pihakberkuasa itu hendaklah mematuhi arahan-arahan itu dengan sempurna.”
     Sumber : Perlembagaan dan Undang-undang Perkara 153


Daripada peruntukan di atas jelas bahawa orang Melayu secara automatik mempunyai hak untuk mendapat biasiswa atau bantuan dan lain-lain kemudahan istimewa pelajaran, latihan atau kemudahan-kemudahan khas. Ia adalah hak, harta dan pusaka orang Melayu kerana sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Jadi sebarang pemberian pinjaman, apa-apa bantuan dan kemudahan dalam pelajaran yang memerlukan pembayaran balik adalah bertentangan dengan dan tidak memenuhi Perkara 153 (3) Perlembagaan. Ini perlu diperbetulkan oleh pihak kerajaan.

            Selain itu,
antara tuntutan yang bersifat umum untuk kemajuan ekonomi dan pentadbiran yang baik akan diterima tetapi apa yang diragukan ialah tuntutan yang jelas mengandungi unsur-unsur perkauman dengan mencuba menidakkan peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan, misalnya:
i)  Desakan supaya dihapuskan diskriminasi perkauman.
ii) Permansuhan perbezaan antara “bumiputera” dengan “bukan bumiputera”.
iii) Penghapusan sistem kuota yang berasaskan “kaum” dan gantikan dengan sistem
    pengagihan berasaskan “kebolehan”.
iv) Penghapusan sistem kuota untuk kemasukan ke universiti.
KESIMPULAN

Kesimpulannya, Perlembagaan Malaysia mengandungi aspek Kontrak Sosial kerana ia merupakan satu persemuafakatan dan perkongsian murni antara kaum di Malaysia. Huraian lanjut dari perseptif sejarah yang meliputi sejarah penindasan dan tipu helah penjajah, penyisihan masyarakat, pribumi dalam arus modernisasi, ketempangan ekonomi antara golongan serta sejarah hubungan kaum di negara ini yang berselang-seli antara sengketa dan kerjasama dimana semuanya hendaklah lengkap dan komprehensif serta disebarkan seluas-luasnya secara berterusan kepada segenap lapisan masyarakat. Segenap lapisan masyarakat, generasi tua dan generasi muda, harus mengetahui, memahami dan menghayati kandungan serta semangat kontrak sosial itu. Penyebaran luas kandungan dan semangat kontrak sosial itu perlulah dilakukan dengan sungguh-sungguh melalui sistem pendidikan yang lebih khusus dan melalui pelbagai sistem komunikasi yang lebih luas dan meliputi. Penekanannya hendaklah diterapkan dalam sistem pendidikan di negara ini supaya generasi muda faham akan sejarah pembentukan negara ini.
Pemimpin-pemimpin umat Melayu sendiri perlu sentiasa diingatkan tentang Kontrak Sosial ini. Jika Perdana Menteri mengatakan bahawa “kegagalan melaksanakan kontrak sosial itu merupakan punca kepada konflik” maka itu bermakna bahawa kejahilan atau keengganan memahami dan menghayati kontrak sosial akan mewujudkan kita kepada konflik. Sesungguhnya untuk mengelakkan konflik itulah maka manusia perlu mempunyai kontrak sosial agar kehidupan mereka bernegara dan bermasyarakat terjamin aman, tertib dan teratur. Bagaimanapun dalam analisis terakhir, rakyatlah yang menjadi penentu.
Merekalah yang akan menentukan sama ada masyarakat pelbagai budaya mampu
bertahan dan berkembang. Nilai mereka, persepsi mereka, prinsip serta prejudis mereka, dan impian serta aspirasi adalah untuk mereka dan juga bangsa mereka, yang akan mencorakkan bentuk dunia yang mereka tinggal di dalamnya. Sama ada mereka belajar untuk hidup bersama dalam suasana stabil dan harmoni atau musnah bersama dalam perselisihan dan kerosakan.
RUJUKAN

Wong Khek Seng, Rahimah Hj.Sabran dan Kok Meng Kee.(2004). Pengajian Am Kertas 1 & 2, STPM. Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd

Ranjit Singh Malhi.(1992).Pengajian am STPM: Kenegaraan Malaysia. Kuala Lumpur:Federal Publications

Muhammad Kamil Awang.(2001).Sultan Dan Perlembagaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Abdul Aziz Bari.(2002). Majlis Raja-raja: Kedudukan dan Peranan dalam Perlembagaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Mohamed Suffian hashim.(1987). Megenal Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka

Mohamad Salleh Abas (1987). Sejarah Perlembagaan Malaysia. Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Prof. Ahmad Mohamed Ibrahim dan Ahilemah Joned (1987). Sistem
Undang-undang di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Tun Mohamed Suffian (1990). Pengenalan Sistem Undangundang Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jim Soh, Jega dan Chorwin.(2004). Kepentingan dan Ancaman Terhadap Kontrak Sosial Di Negara Malaysia yang Bersifat Majmuk.KUiTTHO.
Jim Soh, Jega dan Chorwin.(2004). Kepentingan dan Ancaman Terhadap Kontrak Sosial Di Negara Malaysia yang Bersifat Majmuk.KUiTTHO.
http://www.malaysia.net/dapmnet/lks0433.html



1 comment:

  1. Saya telah berpikir bahwa semua perusahaan pinjaman online curang sampai saya bertemu dengan perusahaan pinjaman Suzan yang meminjamkan uang tanpa membayar lebih dulu.

    Nama saya Amisha, saya ingin menggunakan media ini untuk memperingatkan orang-orang yang mencari pinjaman internet di Asia dan di seluruh dunia untuk berhati-hati, karena mereka menipu dan meminjamkan pinjaman palsu di internet.

    Saya ingin membagikan kesaksian saya tentang bagaimana seorang teman membawa saya ke pemberi pinjaman asli, setelah itu saya scammed oleh beberapa kreditor di internet. Saya hampir kehilangan harapan sampai saya bertemu kreditur terpercaya ini bernama perusahaan Suzan investment. Perusahaan suzan meminjamkan pinjaman tanpa jaminan sebesar 600 juta rupiah (Rp600.000.000) dalam waktu kurang dari 48 jam tanpa tekanan.

    Saya sangat terkejut dan senang menerima pinjaman saya. Saya berjanji bahwa saya akan berbagi kabar baik sehingga orang bisa mendapatkan pinjaman mudah tanpa stres. Jadi jika Anda memerlukan pinjaman, hubungi mereka melalui email: (Suzaninvestment@gmail.com) Anda tidak akan kecewa mendapatkan pinjaman jika memenuhi persyaratan.

    Anda juga bisa menghubungi saya: (Ammisha1213@gmail.com) jika Anda memerlukan bantuan atau informasi lebih lanjut

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...